KEMAMAN : Pencarian seorang lelaki yang lemas ketika menyelamatkan anaknya ketika mandi di Lubuk Tapeng, Sungai Kemaman, berhampiran Kampung Air Putih, dekat sini, berakhir selepas mayatnya ditemukan kira-kira pukul 10.23 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat Mohd. Mirwan Mohd. Remli, 40, ditemukan pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Alhamdulillah, selepas pasukan keselamatan membuat teknik kocakan air dengan olakan bot beberapa kali, mayat lelaki tersebut timbul di permukaan air,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai kira-kira 50 anggota pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pasukan polis bantuan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC).
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari semalam, buruh kilang tersebut dilihat tenggelam di dasar sungai ketika cuba menyelamatkan anak keduanya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang hampir lemas ketika mandi di sungai tersebut.
Bagaimanapun, Muhammad Zafran Aidil terselamat selepas berjaya berpaut pada dahan pokok di tebing sungai sebelum diselamatkan penduduk kampung.
Hanyan berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, isteri mangsa, Haryati Sulaiman, 36, berkata, mereka yang tinggal di Kampung Batu 9, Ibok, ke sungai berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi, semalam untuk mandi dan menemani suaminya serta anak-anaknya mandi sambil memancing sempena cuti sekolah.
“Ketika kejadian, saya memerhati tiga anak kami yang mandi di kawasan cetek, sementara suami memancing ikan berhampiran tebing sungai.
“Bagaimanapun, tiba-tiba anak kedua kami dibawa arus ke tengah sungai dan dia yang tenggelam timbul beberapa kali memanggil suami meminta tolong, sebelum suami saya terjun sungai untuk menyelamatkannya,” katanya.
Haryati berkata, dia sempat melihat suaminya memeluk anak lelakinya itu untuk membawanya ke tebing, namun suaminya kelihatan penat dan tercungap-cungap sebelum dia dilihat tenggelam.
“Saya tengok suami cuba mengangkat anak, namun dia tak terdaya. Ketika itu saya nampak suami tenggelam dan tidak timbul-timbul.
“Anak saya pula berjaya apungkan diri dan berpaut pada dahan pokok di tebing sungai sebelum diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan mendengar anak menjerit meminta tolong,” katanya yang masih terkejut dengan insiden tersebut. – UTUSAN