PETALING JAYA: Seorang peniaga gerai makanan ditahan selepas memukul dan menendang seorang lelaki di Pandan Court, Pandan Mewah, Ampang Jaya, di sini kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7.30 petang apabila mangsa didatangi suspek dikenali sebagai Amirul di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, mangsa bersama anak buahnya sedang bersembang dengan seorang wanita yang berniaga di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, katanya, mangsa didatangi suspek yang secara tiba-tiba menumbuk mukanya sehingga mengakibatkan kecederaan pada rahangnya.
“Siasatan mendapati, punca kejadian adalah suspek tidak puas hati apabila mangsa membuat bising memarahi anak buah mangsa berhampiran gerai miliknya dengan suara yang kuat.
“Suspek bertindak menumbuk dan menendang pengadu sebanyak tiga kali, namun tiada senjata digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, berdasarkan maklumat, sepasukan polis menahan suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, kelmarin.
Ujarnya, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing negatif daripada sebarang jenis dadah.
“Suspek akan direman empat hari sehingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN