Lebih RM25 juta dikumpul bantu mangsa gempa Turkiye - Syria

Lebih RM25 juta dikumpul bantu mangsa gempa Turkiye – Syria

ANWAR Ibrahim bergambar bersama wakil-wakil penyumbang selepas Majlis Sumbangan Dana Bencana di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak RM25 juta berjaya dikumpulkan menerusi Majlis Sumbangan Dana Bencana bagi meringankan beban mangsa tragedi gempa bumi Turkiye – Syria.

Majlis penyerahan sumbangan dana disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Sumbangan terbesar diterima daripada Yayasan Albukhary berjumlah RM10 juta, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (RM4.4 juta), Brahim Dewina Group (RM3 juta) dan YTL Corporation Bhd (RM2 juta).

Penyumbang lain termasuk Yayasan Simer Darby sebanyak RM1.5 juta, NGO India Muslim (RM1.5 juta), Tenaga Nasional Bhd (RM500,000), FGV Holdings Bhd ((RM500,000), Ranhill Holdings Bhd (RM300,000) dan Microlink Solution Bhd (RM100,000).

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, majlis sumbangan dana ini sepatutnya berlangsung esok, namun diawalkan kerana beliau akan berangkat ke Turkiye malam ini.

Menurutnya, beliau dijadualkan bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan melawat mangsa gempa di negara itu sebelum bertolak pulang ke Malaysia pada esok.

“Setelah bercakap panjang dengan Erdogan, saya tidak dapat bayangkan kegelisahan beliau dan sebagai sahabat elok saya turun secara peribadi.

“Langkah kerajaan membantu Turkiye adalah sebagai membalas jasa baik negara itu yang banyak membantu termasuk syarikat negara terutama ketika berhadapan pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya, tragedi gempa bumi yang berlaku di Turkiye – Syria adalah antara paling buruk dalam sejarah selain kejadian tsunami melanda Acheh sebelum ini.

Jelas Anwar lagi, Turkiye adalah negara yang banyak sekali membantu negara terutama sekali Malaysia Airport Holdings Bhd (Malaysia Airport) menerusi operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul yang terjejas teruk akibat Covid-19 sebelum ini.

“Rakyat Malaysia perlu tahu, ini bukan hubungan biasa, (mereka) sahabat sangat dekat dengan kita dan mereka bantu apabila kita berdepan masalah.

“Turkiye turut memberi pertimbangan berbeza dalam kerjasama projek Malaysia bersama negara itu, malah syarikat tempatan turut diberi layanan istimewa dan berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, sumbangan dana diperoleh hari ini hasil terjemahan rasa prihatin rakyat Malaysia terhadap derita dihadapi mangsa gempa.

“Malaysia sentiasa prihatin dengan apa yang berlaku di luar negara dan ia sesuai dengan konsep ihsan ditonjolkan Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya