Lebih 100 bazar Ramadan di Pulau Pinang akan perkenal Menu Rahmah - Utusan Malaysia

Lebih 100 bazar Ramadan di Pulau Pinang akan perkenal Menu Rahmah

ABDUL Halim Hussain (dua dari kiri) melancarkan Laporan Penggunaan Teknologi Industri 4.0 di Malaysia : Strategi untuk Meningkatkan Daya Saing di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Lebih 100 bazar Ramadan di lima daerah di Pulau Pinang dijangka memperkenalkan Menu Rahmah kepada pelanggan bagi membantu meringankan beban orang ramai terutama golongan B40 ketika bulan Ramadan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, setakat ini pihaknya mendapat maklum balas positif mengenai penyediaan Menu Rahmah daripada para peniaga yang bakal menyertai bazar Ramadan bulan depan.

”Kita masih belum mendapat jumlah sebenar para peniaga yang akan menyediakan Menu Rahmah di kios masing-masing ketika bazar Ramadan nanti.

”Namun, kebanyakan mereka memberi maklum balas dapat menyediakan Menu Rahmah itu sepanjang bazar Ramadan Ramadan berlangsung dan mungkin menu berkenaan akan diletakkan di kios khas di bazar nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Halim melancarkan Laporan Penggunaan Teknologi Industri 4.0 di Malaysia : Strategi Untuk Meningkatkan Daya Saing.

Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan memperkenalkan Menu Rahmah pada harga RM5 sebagai usaha membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.

Menurut Abdul Halim, beliau menggalakkan para peniaga untuk menyediakan Menu Rahmah yang berkualiti, bersih dan dijamin kesedapannya kepada para pelanggan.

”Kita lihat Menu Rahmah ini sebagai satu situasi menang-menang antara peniaga dan pelanggan, peniaga akan dapat menjual produk dan peniaga dapat membeli produk pada harga berpatutan.

”Produk Menu Rahmah juga mesti datang dengan kualiti rasa yang sedap dan bersih, barulah pelanggan akan teruskan sokongan mereka kepada peniaga berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya juga menggalakkan para peniaga restoran Cina dan India untuk turut serta memperkenalkan Menu Rahmah di kedai dan restoran masing-masing.

”Dulu kita ada istilah menu ekonomi, sekarang kita galakkan peniaga-peniaga tanpa mengira kaum untuk memperkenalkan Menu Rahmah pada harga RM5 di kedai serta restoran mereka,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan cuba membantu para peniaga mendapatkan bahan mentah pada kadar yang lebih murah melalui penganjuran karnival jualan terus dari ladang serta aktiviti jualan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya