PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bakal bertemu dengan ramai pemimpin sepanjang lima hari lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi bermula hari ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, kunjungan itu signifikan kerana Arab Saudi ialah negara rantau Asia Barat pertama dilawatinya sejak menyandang jawatan akhir tahun lalu sekali gus menggambarkan hubungan istimewa kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lawatan Zambry antaranya berjumpa pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan dijadual bertemu rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan bagi membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala termasuk penganjuran Majlis Koordinasi Malaysia-Saudi.
Menteri itu juga akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid Al-Falih untuk meneroka potensi bidang ekonomi baharu bagi kedua-dua negara selain bertemu ramai ahli perniagaan di Riyadh dan Jeddah bagi meneroka kerjasama pelaburan baharu.
Sterusnya, beliau dijangka bertemu Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk, Jasem Mohamed Albudaiwi di pejabat sekretariat organisasi enam negara itu susulan pelantikan Malaysia oleh ASEAN menjadi hos sidang kemuncak bersama dua blok serantau itu yang julung kali diadakan suku ketiga tahun ini.
Zambry juga dijadual bertemu secara berasingan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha serta Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia, Dr. Mohammed Al-Issa semasa di sana.
Kepentingan Arab Saudi jelas Wisma Putra, masih lagi kekal sebagai rakan perdagangan eksport dan sumber import paling besar Malaysia di rantau Asia Barat sejak sekian lama dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM45.52 bilion tahun lalu, peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM17.56 bilion. – UTUSAN