PUTRAJAYA: Selepas hampir 30 tahun berlalu, seorang lagi Presiden Jerman datang melakukan lawatan ke Malaysia dan pada kali ini pula oleh Frank-Walter Steinmeier.
Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau dan isterinya, Elke Budenbender mengunjungi negara ini selama tiga hari bermula hari ini selepas melawat Kemboja sebagai usaha berterusan mengukuhkan hubungan erat dua negara.
Kali terakhir Presiden Jerman pernah membuat lawatan ke Malaysia ialah pada 1997 lalu oleh Prof. Dr. Roman Herzog dan sebelum itu pada 1986 oleh Richard von Weizsaecker.
Wisma Putra berkata, Steinmeier akan diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong di pekarangan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur pada pagi esok dan kemudiannya menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini untuk membincangkan pelbagai isu berkepentingan.
Sejurus sesi ini, beliau dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Seri Paduka Baginda di Istana Negara, disusuli majlis santapan negara meraikan dirinya dan delegasi.
“Pemimpin Jerman tersebut dijangka melakukan program lawatan rasmi ke Pulau Pinang dan Sarawak sepanjang beliau berada di Malaysia hingga Sabtu ini,” kata Wisma Putra.
Di Pulau Pinang, Steinmeier melawat kilang semikonduktor Infineon dan farmaseutikal B. Braun manakala di Sarawak pula ke taman negara dan pusat orang utan Semenggoh.
Lawatan berkenaan memberi peluang terbaik kepada Malaysia-Jerman untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang dan mengeratkan lagi diplomatik Putrajaya-Berlin.
Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan 27 negara ahli Kesatuan Eropah dengan lebih 700 firma Jerman memiliki operasinya di seluruh Malaysia.
Sepanjang tahun lepas, nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman melonjak sebanyak 10 peratus apabila mencatatkan RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion pada 2021. – UTUSAN