ALOR SETAR: Empat individu sudah menghantar borang pencalonan setakat semalam bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang tidak dipertahankan oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam pemilihan UMNO kali ini.
Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, empat individu tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah serta Meor Hassan Mat Ali dan Syed Rosli Syed Harman.
“Ini merupakan proses demokrasi yang perlu diraikan. Apabila seseorang itu cukup keahlian untuk tempoh tiga tahun, maka mereka layak menawarkan diri bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.
“Kita alu-alukan seramai mungkin calon berpotensi untuk mengisi kekosongan tersebut setelah Asyraf Wajdi memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15),” katanya.
Hasmuni berkata, saingan untuk jawatan Naib Ketua Pemuda juga setakat ini menampakkan pertembungan empat penjuru.
Menurutnya, antara yang mengesahkan pencalonan bagi jawatan tersebut ialah anak Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd. Nazifuddin dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.
Dua lagi individu yang turut akan bersaing mendapatkan undi perwakilan bagi jawatan berkenaan adalah Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dan Muhammad Farhan Khairuddin. –UTUSAN