BALING: Seramai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah akan dihantar mengikuti sesi pemilihan dan kursus bagi memperkasa Pasukan Khas Pertahanan Awam.
Pengarah Pertahanan Awam Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, sesi tersebut akan diadakan pada minggu hadapan di ibu pejabat APM.
“Ini menjadi salah satu agenda dan indeks prestasi utama (KPI) di Jabatan Perdana Menteri untuk memperkasa dan melihat semula pasukan khas APM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Minum Petang APM Kedah di sini, semalam.
Sementara itu, Awang Askandar berkata, warga APM Kedah juga sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang misi dalam usaha membantu dan menyelamatkan mangsa-mangsa bencana.
Beliau berkata, setiap anggota APM Kedah sentiasa dilengkapi dengan latihan dan kursus serta pendedahan pelbagai pengalaman menyelamat agar boleh terlibat sama dalam apa jua misi di mana-mana sahaja.
“Anggota APM kini sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa untuk melakukan misi menyelamat sama ada yang berlaku dalam daerah, di negeri ini mahupun di mana-mana sahaja lokasi di seluruh negara dan luar negara,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau turut menghargai semua anggota APM khususnya yang berpangkalan di daerah Baling yang terlibat dalam pelbagai misi menyelamat mangsa bencana.
“Dua tahun kebelakangan ini, Baling sering dilanda bencana terutamanya banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi serta pandemik Covid-19. Justeru, majlis ini untuk menghargai dan meraikan anggota-anggota APM yang sentiasa bekerja keras demi menyelamatkan nyawa dan harta mangsa bencana.
“Kita juga berharap agar lebih ramai orang awam akan tampil ke hadapan dan bersama-sama dengan APM untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah pada masa akan datang,” katanya. –UTUSAN