Lantikan ketua kampung di Perak bulan depan - Utusan Malaysia

Lantikan ketua kampung di Perak bulan depan

MOHD. Zolkafly Harun (tengah) menyiram pokok sebagai gimik perasmian Karnival dan Pameran STEM di SK Lintang, Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Pelantikan baharu ketua kampung bagi mengisi semula kekosongan jawatan itu setelah perkhidmatan ketika ini ditamatkan Disember tahun lalu akan diumumkan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pihaknya kini di peringkat akhir mekanisma untuk dicadangkan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Katanya, proses pelantikan berkenaan mengambil masa bagi memastikan semua pihak berpuas hati dengan cadangan dan mekanisma yang disyorkan.

“Sekarang ini, kita mahu memastikan mekanisma untuk menentukan jumlah kampung, jumlah ketua-ketua kampung dan kampung-kampung yang sesuai untuk diberi tanggungjawab kepada parti-parti kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Ini memerlukan sedikit masa supaya semua pihak berpuas hati dengan cadangan dan mekanisma yang sudah kita siapkan di mana rundingan peringkat akhir jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa peringkat negeri akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Karnival dan Pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Swasta (KPIBKS) Daerah Kuala Kangsar 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang di sini hari ini.

Menurut beliau, mekanisma yang dicadangkan itu nanti diharap dapat memberi penyelesaian yang menyeluruh sekaligus diterima semua pihak.

“Sekarang agak berbeza sedikit kerana kita mesti mengharmonikan cadangan dan mekanisma dengan sokongan dan kerjasama daripada BN dan PH,” ujar beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, semua ketua kampung di Perak ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 31 Disember lalu melalui satu pekeliling melibatkan semua pemegang jawatan terlibat.

Menurut beliau, pelantikan ketua kampung akan dimuktamadkan sebaik mendapat format baharu lantikan dikeluarkan KKDW. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya