Ladang integrasi tentera darat diperluas kepada ternakan

Ladang integrasi tentera darat diperluas kepada ternakan, tanaman

ZAMROSE Mohd. Zain melawat Ladang Integrasi Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Ladang Integrasi Tentera Darat yang kini sedang di­­usahakan dengan projek ta­naman sayur-sayuran bakal di­perluaskan dengan aktiviti ternakan se­perti ayam dan ikan.

Panglima Tentera Darat, Jene­ral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, langkah itu adalah bagi mengurangkan beban sara hidup warga tentera apabila mereka dapat membeli sayur-sayuran de­ngan harga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran.

Jelas beliau lagi, selain bertujuan menampung keperluan warga tentera, isteri serta anak-anak anggota tentera yang tinggal berdekatan kem juga boleh bekerja di ladang berkenaan serta mendapat bayaran setimpal.

“Seperti di sini, contoh­nya harga cili di pasaran sekitar RM30, tentera boleh beli RM20. Jadi kami rancang untuk perluas­kan ke semua zon iaitu Utara, Tengah, Selatan serta Sabah dan Sarawak bagi memanfaatkan ta­nah-tanah yang ada di dalam kem untuk keperluan warga tentera darat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, semalam.

Mengulas mengenai kemungkinan terhadap persepsi orang awam terhadap tugas tentera susulan kewujudan ladang integrasi tersebut, Zamrose me­negaskan tugas anggota tentera tetap sama.

“Tugas hakiki tentera tetap sama, cuma ini adalah pendekat­an kami untuk mengurangkan beban sara hidup de­ngan harga sayur-sayuran lebih murah. Anak, isteri boleh be­kerja dan tanah terbiar di kem dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Ladang Integrasi Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin, Gemas merupakan projek kerjasama antara Tentera Darat Dan Desatera Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat Kumpulan Brahim’s Dewina.

Lawatan tapak pertama dilakukan pada 10 November 2021 di Pusat Rehabilitasi Pemasyarakatan, Kem Syed Sirajuddin dan melibatkan tanah berkeluasan 30 hektar yang dirancang dan kemudiannya diserahkan kepada Tentera Darat Malaysia.

Ladang integrasi tersebut te­lah mula beroperasi dan mema­suki fasa penanaman pada 15 Mei tahun lalu. Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya hanya mampu menggunakan sekitar 50 peratus sahaja daripada jumlah tanah bagi tujuan ladang integrasi tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya