SHAH ALAM: Kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk menunaikan zakat semakin meningkat apabila kutipannya di negeri ini dilapor melepasi sasaran seperti ditetapkan pada tahun lalu.
Justeru, Lembaga Zakat Selangor (LZS) meletakkan sasaran kutipan lebih tinggi pada tahun ini supaya lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu melalui zakat.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, sasaran kutipan pada tahun lalu berjaya dicapai agensi berkenaan, bagaimanapun jumlah sebenar kutipan tersebut akan didedahkan dalam laporan rasmi.
“Kutipan pencapaian tahun lepas meningkat dari tahun sebelumnya yang mana pada 2021, kita mengutip RM993 juta. Data yang lengkap akan kami maklumkan selepas ia mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan.
“Untuk tahun ini kita menyasarkan peningkatan pembayaran zakat berdasarkan data perangkaan yang menunjukkan sejuta orang umat Islam layak membayar zakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan bantuan persekolahan secara simbolik oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Abdul Aziz menzahirkan kekecewaan terhadap pihak yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam dengan membuangnya ke dalam longkang seperti berlaku di Taman Sri Murni Jinajng, Selayang baru-baru ini.
Menurutnya, Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang dimuliakan serta disanjung tinggi tidak boleh diperlakukan sedemikian dengan sewenang-wenangnya dan berharap insiden tersebut tidak berulang lagi.
“Kita pun tidak pasti siapakah yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut, sama ada ia dilakukan oleh orang Islam atau bukan Islam. Al-Quran bukan boleh dibuang sewenang-wenangnya seperti sampah-sarap ke dalam longkang. Kalau dibuang sekalipun dan kita nampak,kita akan tahu ia adalah kitab suci kita,” tegasnya. – UTUSAN