PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) bertekad memastikan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif melalui projek menaik taraf atau penggantian blok bangunan sekolah daif.
KPM berkata, pada masa sama, KPM juga akan menerajui Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi menyambut agenda pendidikan digital negara seiring dengan keperluan ketika ini.
Dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) pula, katanya, ia akan terus diperkasa untuk melahirkan graduan memenuhi keperluan industri dan negara menerusi pendekatan usaha antara pihak awam serta swasta.
“Dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah, KPM turut memperkasakan penggunaan Modul Intervensi Jenayah Seksual Kanak-kanak di Sekolah (IHSAN).
“Selain itu, kita juga membuat penelitian dan semakan berkaitan peraturan-peraturan disiplin murid yang lebih komprehensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM berkata, pihaknya juga akan terus berusaha memastikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
KPM turut merafak sembah menjunjung kasih titah Al Sultan Abdullah sempena pembukaan penggal kedua Parlimen Kelima Belas semalam yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan bidang pendidikan.- UTUSAN