KPDN bangunkan aplikasi direktori Menu Rahmah - Utusan Malaysia

KPDN bangunkan aplikasi direktori Menu Rahmah

SALAHUDDIN AYUB (tengah) dan Fuziah Salleh (kiri) menunjukkan Burger Rahmah yang dijual pada harga RM5 di Restoran Burger King di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan aplikasi Menu Rahmah bagi terus memperkasakan jenama berkenaan serta pengusaha yang melibatkan diri secara sukarela.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, aplikasi yang memaparkan direktori premis makanan di seluruh negara yang menyediakan Menu Rahmah itu akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Kita akan selaraskan pelaksanaan program Menu Rahmah ini dan ketika ini  sedang bangunkan satu aplikasi direktori yang mempamerkan lokasi Menu Rahmah boleh diperoleh, termasuk waktu penyediaannya untuk mudahkan pelanggan,” katanya selepas melancarkan menu Burger Rahmah di restoran makanan segera Burger King di Taman Bukit Indah, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Fuziah Salleh.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, pelaksanaan Menu Rahmah tidak bertujuan mengubah model perniagaan asal yang dilaksanakan oleh pengusaha premis makanan.

Maklum balas diperoleh pihaknya tentang pelaksanaan program itu amat positif apabila pengusaha yang terlebih dahulu memperkenalkan menu itu telah merekodkan keuntungan.

“Dua hari lalu, sebuah pasar raya telah merekodkan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus selepas melancarkan jualan Rahmah, ini adalah impak positif yang kita harapkan daripada program ini.

“Ini bermakna, pengusaha yang beri komitmen bagi jenama Rahmah ini boleh merekodkan keuntungan, termasuk pengguna kerana mereka dapat menikmati pelbagai barangan pada harga berpatutan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Burger King menjadi restoran makanan segera pertama yang menyahut inisiatif kerajaan dalam menyediakan menu makanan pada harga sederhana menerusi inisiatif Menu Rahmah.

“Produk Burger Rahmah merupakan burger ayam atau daging berserta sayur dan sebotol air mineral yang dijual dengan harga RM5 di kesemua 140 cawangan Burger King seluruh negara.

“Ini membuktikan jenama Rahmah mendapat sambutan baik daripada semua pihak apabila terdapat pelbagai variasi termasuk air Rahmah, kek Rahmah, durian Rahmah dan kini burger Rahmah,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya