ALOR SETAR: Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan kontrak pembersihan, empat tahun lalu.
Tertuduh, Ronie Maharudin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 19 Februari ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi Oktober, November dan Disember 2018 sebagai tulen.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat E-Idaman Sdn. Bhd., Bandar Baru Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada 22 Februari 2019.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 dan seorang penjamin ke atas tertuduh sementara menunggu hukuman dijatuhkan.
Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Farid Wajdi Hanif kemudian memohon jaminan rendah kerana tertuduh perlu menanggung isteri, tiga anak yang masih belajar serta ibu bapa.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain diarahkan tidak mengganggu saksi pendakwaan. Tertuduh membayar jaminan ditetapkan. -UTUSAN