ALOR SETAR: Seorang kontraktor didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender pembersihan awam, empat tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah turut memerintahkan tertuduh, Ronie Maharudin, 46, membayar denda itu serta-merta tanpa ansuran dan sekiranya gagal perlu menjalani hukuman penjara selama setahun.
Ronie didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender berkenaan.
Dia dituduh mempunyai sebab untuk mempercayai yang dokumen itu adalah palsu. Kesalahan itu dilakukan di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah pada 22 Februari 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam tertuduh, Datuk Hanif Hassan memohon hukuman ringan iaitu denda yang rendah tanpa penjara memandangkan perniagaan anak guamnya merudum sejak setahun lalu di samping keadaan ekonomi tidak menentu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya dapat memberikan teladan kepada masyarakat.
Tertuduh kemudian membayar denda itu. –UTUSAN