PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu untuk memberi gambaran komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin Covid-19.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kertas Putih itu akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat.
Menurut beliau, ini berikutan penemuan awal pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjalankan due diligence secara terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin yang ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat.
“Sehubungan itu, bertepatan dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri juga, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin Covid-19 di bawah kementerian ini dilaksanakan dengan lebih teliti dan berintegriti.
“Ini termasuk memastikan ia mempunyai manfaat timbal-balik kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat keraguan dalam perolehan vaksin Covid-19 dan kos berkaitan ketika tempoh pandemik.
Anwar berkata, menteri-menteri yang terlibat dipercayai menandatangani pembelian vaksin itu ketika tempoh pandemik bagi tujuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tanpa persetujuan AGC, tidak mengikuti peraturan dan transaksi yang diluluskan juga tidak mematuhi proses sebenar.
Dalam hal itu, Anwar berkata, Kementerian Kesihatan akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 dan kos berkaitan yang dikesan tidak mengikuti peraturan dalam sidang Parlimen bermula 13 Februari ini.
Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengulas dakwaan itu memberitahu, setiap pembelian vaksin Covid-19 dalam tempoh pandemik bagi pelaksanaan PICK dibentangkan di Kabinet dan dalam pengetahuan Jabatan Peguam Negara .
Malah, katanya, semua keputusan perolehan dibawa ke Kabinet, oleh itu AGC didedahkan perkara-perkara berkaitan termasuk kos yang terlibat. – UTUSAN