MELAKA: Program berkhatan beramai-ramai dilihat menjadi salah satu alternatif terbaik membantu keluarga kurang berkemampuan dalam menunaikan tuntutan Islam bagi anak-anak lelaki.
Ini kerana jika dilakukan di klinik perubatan swasta, kosnya adalah sekitar RM100 hingga RM200 seorang dan perkara itu sedikit membebankan, jika sesebuah keluarga mempunyai lebih seorang anak lelaki yang perlu dikhatankan pada waktu sama.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di Program Berkhatan Perdana Percuma Parlimen Tangga Batu, seorang bapa, Mohd. Hafiz Ibrahim, 33, berkata, dia tidak melepaskan peluang menghantar tiga anak lelakinya masing-masing berusia tujuh, sembilan dan 10 tahun ke situ.
Katanya, kesempatan itu perlu dimanfaatkan keluarga berpendapatan rendah sepertinya memandangkan kos berkhatan didapati terus meningkat saban tahun.
“Banyak pihak yang tidak sedar cabaran dihadapi keluarga yang mempunyai anak lelaki yang ramai untuk berkhatan. Kerana kos itu kita lihat semakin meningkat setiap tahun, jika dahulu mungkin di bawah RM100 untuk seorang.
“Saya ada tanya beberapa klinik sebelum ini, harganya antara RM100 ke RM200 seorang. Macam saya ada tiga anak lelaki, memang terasa juga. Jadi apabila ada program sebegini, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kami,” katanya di pekarangan Masjid al-Aminin, Batang Tiga di sini kelmarin.
Program berkenaan dianjurkan pengurusan Masjid al-Aminin bersama Pertubuhan Prihatin Anak Melaka (PPAM) dan dirasmikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin.
Kira-kira 100 keluarga mengambil peluang menghantar anak lelaki berusia antara empat hingga 12 tahun untuk berkhatan secara percuma.
Dalam pada itu, Pengerusi PPAM, Mohd. Syamsul Mat berkata, pihaknya mengakui ramai ibu bapa berpendapatan rendah mengakui terkesan dengan peningkatan kos berkhatan. – UTUSAN