IPOH: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Khairul Azwan Harun, menawarkan diri untuk mengepalai bahagian tersebut selain menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Beliau yang popular dengan panggilan Azwanbro menjelaskan mahu menggunakan pengalamannya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli MKT sesi 2013/2018 bagi memperkukuh parti tersebut.
“Berbekalkan dengan sedikit pengalaman lalu, saya ingin terus menyumbang tenaga dan buah fikiran serta mengukuhkan semangat kebersamaan dengan pucuk pimpinan parti,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi pemilihan jawatan Ketua UMNO Pasir Salak pula, beliau turut menawarkan barisan pasukannya untuk mengemudi bahagian tersebut dengan slogan ‘Memperkasa Pasir Salak’.
Menurut beliau, pasukan ‘Memperkasa Pasir Salak’ itu adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin anak tempatan yang berpengalaman dan berkelayakan.
“Kami komited dan bertekad untuk memperkenal pembaharuan dan penambahbaikan terhadap corak kepimpinan serta pendekatan kami dalam mengurus parti dan khidmat bakti kami kepada masyarakat di Pasir Salak,” ujar beliau.
Selain beliau, pasukan itu terdiri daripada calon Timbalan Ketua iaitu Ramelle Ashram Ramli; Calon Naib Ketua (Mohd. Nazari Sabran); Ketua Wanita (Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin); Ketua Pemuda (Mohd Yafiz. Mohamad Mustapa); Ketua Puteri (Nor Azuwa Sulaiman); Naib Ketua Wanita (Suhaili Suib); Naib Ketua Pemuda (Mohd. Farid Mohd. Hayati) dan Naib Ketua Puteri iaitu Saila Mohd. Saleh. – UTUSAN