Kesedar Food Valley perkasa keterjaminan makanan negara

Kesedar Food Valley perkasa keterjaminan makanan negara

AHMAD Zahid Hamidi (kanan) selepas mendengar taklimat daripada pihak Kesedar selepas mengadakan lawatan ke agensi berkenaan di Gua Musang, Kelantan hari ini. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kesedar Food Valley yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menjadi usaha terbaharu kerajaan memperkasakan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi kerajaan itu akan memanfaatkan lebih 900 hektar tanah menerusi tiga projek utama iaitu pertanian hasil baru, penternakan lembu pedaging dan agrotek desa. 

Menurutnya, bagi memulakan usaha itu Kesedar telah membangunkan kawasan seluas 22 hektar di Agrotek Manik Urai, Kuala Krai dengan tanaman jagung, nanas MD2, kelapa, labu, cili kulai sayur-sayuran fertigasi serta tanaman kekal seperti durian dan dokong.

“Kesedar turut membangunkan tanaman kopi Robusta di kawasan seluas 60 hektar melalui kerjasama Nestle Malaysia di bawah Program Nescafe Grown Respectfully.

“Pada tahun lalu, kita telah membelanjakan RM0.9 juta kepada anak syarikatnya Kesedar Dagang Sdn. Bhd. (KDSB) bagi memulakan usaha-usaha penternakan lembu pedaging bermula tahun 2020,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kesedar, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, KDSB kini sedang mengusahakan ternakan lembu pedaging secara fidlot dan integrasi di Kesedar Sungai Asap dan Chalil melibatkan kawasan seluas 150 hektar.

Katanya, ia melibatkan kapasiti pengeluaran daging sebanyak 170 tan metrik daging segar setahun bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi selain harga berpatutan.

“Peruntukan sebanyak RM11 bilion kepada Kementerian Kemajuan Dan Wilayah (KKDW) menerusi Belanjawan 2023 mampu  memberi manfaat kepada lebih 8.1 juta penduduk desa di negara ini sekaligus menunjukkan komitmen tinggi dan berterusan kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar.

“Saya mengharapkan kerjasama sektor swasta dengan agensi serta jabatan di kementerian supaya penyelarasan pengeluaran makanan berskala besar dapat dilakukan bagi menampung keterjaminan makanan. Fokus ini adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kebolehdapatan dan ketersediaan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat serta memenuhi keperluan harian rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberi sokongan penuh kepada Kesedar untuk menubuhkan hub halal yang merangkumi pengeluaran produk makanan suci dan bersih kepada pengguna.

Katanya, ia turut mengeluarkan bahan-bahan mentah yang sedia diproses dalam skala besar secara halal dan memberi nilai tambah kepada Kesedar Food Valley.

“Kerajaan akan turut membantu Kesedar mendapatkan pensijilan halal bagi merealisasikan cadangan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN