SHAH ALAM: Kes pergaduhan melibatkan dua isteri kepada bekas jurulatih bola sepak kebangsaan di sebuah restoran di bandar raya ini, bulan lalu diselesaikan dengan baik.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penyelesaian itu susulan penarikan semula laporan polis dibuat wanita itu pada 8 Februari lalu.
“Kertas siasatan kes itu sebelum ini telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Selangor.
“Kes itu kemudian mendapat arahan untuk NFA (tiada tindakan lanjut) pada 10 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dua wanita dipercayai isteri kepada bekas jurulatih bola sepak kebangsaan bergaduh di sebuah restoran pada 23 Januari lalu.
Difahamkan, kejadian itu tercetus akibat timbul perselisihan faham dan berlaku pertikaman lidah antara mereka di restoran itu.
Namun, pergaduhan itu berjaya dileraikan orang ramai di lokasi kejadian dan kedua-dua individu itu tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
Sebelum ini tular dalam TikTok mengenai seorang pengguna Twitter mendedahkan bekas pemain bola sepak yang terkenal pada era 1980-an dan 90-an itu berkahwin dengan seorang artis dan bukanlah berstatus duda.
Wanita berusia 30 itu kemudian mengesahkan dirinya sudah berkahwin namun enggan memperincikan butiran lanjut termasuk tarikh perkahwinan mereka.
Bekas jurulatih berusia lingkungan 60-an itu turut meletakkan telefon dan gagal dihubungi lagi sama ada menerusi panggilan telefon mahupun pesanan WhatsApp. – UTUSAN