PUTRAJAYA: Kerajaan akan menjalinkan kerjasama strategik dengan pemain industri swasta bagi memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu penting bagi menyelesaikan isu tidak padan pengajian dengan kehendak pasaran yang dihadapi pelatih TVET tempatan.
Beliau berkata, kerjasama itu kelak membolehkan pelajar TVET mendapat latihan sebaiknya di pusat latihan yang betul selain memperoleh pendapatan munasabah.
“Peruntukan untuk TVET ini mengikut belanjawan tahun lalu ialah sekitar RM6.7 bilion dengan merangkumi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Ia ada 500 institusi kemahiran latihan awam (ILKA) dengan jumlah pelajar sekitar RM250,000.
“Jadi, saya usulkan supaya ada langkah segera kerana kita ada kajian dan jawatankuasa untuk pastikan anak-anak ini dilatih dan dapat pekerjaan dengan pendapatan munasabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan mencadangkan agar pihak swasta melatih, mengurus dan mengguna kepakaran bagi memenuhi skop keperluan diperlukan industri berkenaan.
Anwar berkata, sebagai contoh, institut latihan di Pengerang, Johor maka kerajaan minta diambil alih oleh Petronas untuk melatih, mengurus dan guna kepakaran bagi memenuhi keperluan mereka.
“Kita juga ada DRB-Hicom di Pekan, maka dalam bidang automotif dan berkaitan boleh diambil (pihak swasta) dan jalankan (latihan).
“Kita juga ada berbincang umpanya dengan Sunway dan mereka boleh ambil alih di Ipoh untuk penuhi bahagian perhotelan serta pelancongan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, satu jawatankuasa Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengenal pasti syarikat swasta yang boleh membantu institusi TVET untuk menyelesaikan masalah berkaitan ‘miss match’ seperti latihan tidak diperlukan industri serta kemudahan kurang memuaskan.
“ni keputusan besar dan minta tindakan diambil segera serta selainnya kita akan jelaskan dalam pembentangan belanjawan pada 24 Februari ini,” katanya. – UTUSAN