RANTAU PANJANG: Sebuah keluarga di Kampung Tersang di sini, diselubungi ketakutan apabila rumah yang didiami hanya menunggu masa untuk runtuh susulan banjir yang kerap kali melanda kawasan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zubaida Awang Senik, 64, berkata, struktur rumahnya itu sudah berada dalam keadaan tidak stabil akibat hentaman arus deras banjir yang melanda kawasan kediamannya sejak Februari tahun lalu.
Menurutnya, susulan itu rumah yang berusia 31 tahun tersebut sudah ‘tergelincir’ dari tiang dan kini bertahan dengan batu-bata yang disusun bagi mengelakkan ia runtuh dan menyembah bumi.
“Rumah ini sudah tidak kuat dan hanya menunggu masa untuk runtuh. Jika banjir sekali lagi melanda, saya tidak menolak kemungkinan ia akan dihanyutkan oleh arus deras.
“Banjir pada Februari tahun lalu, bahagian dapur telah runtuh dan sehingga hari ini ia masih belum dibaiki,” katanya di sini semalam.
Zubaida memberitahu, sebelum ini dia sudah banyak kehilangan harta benda akibat banjir yang melanda kawasan kampungnya.
Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku dan menyifatkan perkara tersebut sebagai ujian buat keluarga.
Zubaida mendakwa, banjir yang acap kali melanda rumahnya itu berpunca daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Katanya, terbaharu Kampung Tersang dilanda banjir sejak Sabtu lalu dan air sedalam tiga meter akibat limpahan Sungai Golok.
Katanya, sekiranya paras air terus meningkat, dia akan berpindah ke pusat pemindahan banjir sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Deh.
“Buat masa ini, dia dan keluarga terpaksa menggunakan perahu untuk keluar dari rumah bagi membeli bekalan makanan,” katanya. – UTUSAN