Kerajaan kekal keputusan tak benarkan pengeluaran KWSP - PM - Utusan Malaysia

Kerajaan kekal keputusan tak benarkan pengeluaran KWSP – PM

KWSP
ANWAR Ibrahim bersalaman dengan mahasiswa dan warga Unisel selepas menyampaikan syarahan ulung Kursi Siddiq Fadzil Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan masih mengekalkan keputusan tidak membenarkan pengeluaran wang simpanan dalam tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal dengan keputusan bagi mencari usaha mengurangkan beban tanpa memberi impak terhadap pemegang akaun ketika menghadapi hari persaraan nanti.

“Kita sudah perjelaskan, dahulu diminta dikeluarkan, banyak dikeluarkan jadi yang tinggal RM10,000, RM5,000, yang hendak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita, ada RM5,000, RM10,000 hendak keluar, pencen empat tahun lagi apa hendak jadi?

“Betul (pengeluaran untuk kelangsungan hidup) tetapi kalau wang dia ada tak apa, kalau wang tidak ada. Ada RM5,000 tinggal RM3,000, jadi kalau dia pencen esok ada yang hendak pencen dua tahun tiga tahun lagi,” katanya ditemui pemberita hari ini.

Kerajaan sebelum ini sudah pun membenarkan pengeluaran khas daripada Akaun 1 dan 2 KWSP melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra masing-masing April 2020, Januari, Mac serta Ogos 2021 bagi membolehkan rakyat berdepan tekanan ekonomi ketika pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui  selepas menyampaikan syarahan ulung Kursi Siddiq Fadzil Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia dekat Dewan Canselor, Universiti Selangor (Unisel), turut menjelaskan Bajet 203 bakal memberi keutamaan kepada penyelesaian kos sara hidup serta menangani defisit ekonomi.

Menurutnya, keutamaan kerajaan kini melibatkan penyelesaian isu asas termasuk keselesaan rakyat serta jaminan bekalan makanan disamping perbelanjaan pembangunan digital.

“Bajet saya sudah jelaskan keutamaannya adalah untuk tangani defisit, digital dan keterjaminan makanan, keselesaan rakyat dan masalah kos sara hidup.Yang lain saya akan umumkan masa Belanjawan,” ujarnya.

Semalam, beliau dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan menjelaskan belanjawan kali ini akan menggariskan tindakan yang lebih radikal untuk mendepani masalah negara dengan lebih berani.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan, rangka Bajet 2023 akan memberi fokus untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi keyakinan pelabur seterusnya berupaya memberi rahmah kepada rakyat secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya