PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengenalpasti kaedah pembiayaan perumahan terbaik sebelum mengguna pakai konsep perumahan yang dilaksana Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HBD), Singapura.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat berdasarkan konsep ‘yang buruk dijadikan sempadan, yang baik dijadikan teladan’.
“Tidak kira dengan siapa kita akan belajar namun yang penting kita mesti menjalinkan kerjasama untuk mendapatkan kaedah terbaik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Muhibbah Tahun Baharu Cina 2023 anjuran KPKT di sini hari ini.
Sebelum ini, KPKT mengumumkan untuk membawa masuk pakar luar bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman berhubung isu perumahan bersama HBD, Singapura.
Bagaimanapun, pengumuman itu mengundang pelbagai reaksi sehingga ada menganggap keputusan tersebut dibuat bagi mengisi kelemahan penjawat awam.
“Jika kita boleh belajar daripada Jepun yang pernah menjajah negara kita, apa salahnya kita belajar daripada negara ASEAN yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu Kor Ming berkata, kerajaan akan membenarkan penjualan mercun dan bunga api dalam masa terdekat termasuk menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pemborong dan pengimport menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperincikan garis panduan berkenaan dan Kementerian Kewangan akan menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pengimport mercun dan bunga api.
Bagaimanapun, katanya, pembakaran mercun dan bunga api dihalalkan tetapi tertakluk kepada permohonan lesen, duti import, peraturan serta garis panduan itu kelak.
Kor Ming berkata, pihaknya percaya garis panduan itu akan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara.
“Jika ia dibenarkan kelak, orang awam boleh membeli mercun di kedai-kedai dan pusat beli-belah apabila ia diumumkan kelak,” katanya. – UTUSAN