Kemuliaan hati Khalipulzan wakaf mesin dialisis dapat perhatian Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Kemuliaan hati Khalipulzan wakaf mesin dialisis dapat perhatian Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) menyampaikan penganugerahan kepada Khalipulzan Mansur,54, yang sanggup menjual tanah miliknya untuk membeli dua buah mesin dialisis bernilai RM80,000 yang diwakafkan di Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kemuliaan hati seorang pekerja pembersihan di Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang sanggup menjual tanah miliknya untuk membeli dua buah mesin dialisis bernilai RM80,000 yang diwakafkan di pusat itu mendapat perhatian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan memberi penghargaan kepada lelaki berkenaan bersempena program kayuhan MAIPs peduli menjejaki dan menyantuni asnaf kali ke-11 2023 di Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama di sini, semalam.

“MAIPs menghargai penyumbang, Khalipulizan Mansur,54, yang telah mewakafkan dua unit mesin dialisis berjumlah RM80,000 di pusat dialisis tersebut,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan berangkat singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih dalam kariah berdekatan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pekerja pembersihan di Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs HTF sanggup menjual tanah miliknya untuk membeli dua buah mesih dialisis bernilai RM80,000 yang diwakafkan di pusat itu.

Niat Khalipulzan hanya satu iaitu sebagai saham akhirat selain untuk kedua-kedua arwah datuk dan neneknya iaitu Rafiah Saat dan Ibrahim Abdullah yang telah menjaganya sejak kecil.

Khalipulzan berkata, tanah seluas hampir satu hektar itu dijual hujung tahun lalu dan sebahagian hasilnya digunakan untuk membeli dialisis berkenaan bernilai kira-kira RM80,000.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menzahirkan rasa terharu dan bersyukur atas semangat yang ditunjukkan oleh Khalipulizan dalam menyuburkan amalan berwakaf.

Beliau berharap agar usaha seumpama ini dapat dicontohi oleh setiap masyarakat.

“MAIPs amat berbangga dan menghargai sumbangan wakaf yang telah disumbangkan ini sekali gus menyuntik semangat MAIPs dalam merealisasikan lagi pelbagai projek inisiatif wakaf ini seperti Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab pula berkata, MAIPs sedang pesat mengusahakan peluang dana wakaf bagi mewujudkan sebuah Pusat Rawatan Katarak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dan HTF.

“Selain itu, kita juga sedang berusaha melaksanakan projek wakaf pusat autisme dengan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan.

“Masyarakat yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah berwakaf melalui MAIPs boleh berbuat demikian melalui sumbangan terus ke Dana Wakaf Tunai Am MAIPs sama ada melalui sumbangan sekali beri (one-off) atau melalui potongan gaji bulanan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.maips.gov.my.,” katanya-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya