Kembangkan lagi konsep Menu Rahmah ke sektor lain - Utusan Malaysia

Kembangkan lagi konsep Menu Rahmah ke sektor lain

KONSEP Menu Rahmah kini tertumpu kepada sektor makanan. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengembangkan konsep Menu Rahmah ke sektor lain untuk membantu golongan kurang berkemampuan menghadapi kemeseletan ekonomi terma­suk kenaikan harga barang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, antara sektor itu adalah perkhidmatan serta barangan keperluan persekolahan.

Katanya, ia membantu golo­ngan berpendapatan rendah menampung perbelanjaan musim persekolahan anak.

“Saya juga bersetuju jika konsep Menu Rahmah dikembangkan ke sektor lain.

“Misalnya keperluan sekolah seperti pakaian, kasut sekolah atau T-shirt, kita juga boleh mengaplikasikan konsep seperti Menu Rahmah,” katanya di sini semalam.

Katanya, konsep tersebut harus dijadikan asas memacu ekonomi bersifat tolong menolong melibatkan sektor swasta, awam serta pengguna.

Malah tambahnya, melalui konsep Menu Rahmah, ia juga harus dijadikan landasan meng­aplikasikan sistem ekonomi yang dikenali sebagai reserved purchase iaitu konsep tolong menolong sesama masyarakat yang kini menjadi tradisi di ba­nyak negara maju.

“Saya harap ia akan disambung di kawasan luar bandar dan kawasan miskin bandar, dengan konsep yang dipanggil reserved purchase. Ini merujuk kepada orang yang lebih berkeupayaan akan membuat belian.

“Contohnya katalah dia beli roti canai, dia beli lima keping dengan harga RM1 sekeping. Tapi, dia bayar RM10. Kemudian, dia kata RM5 baki itu dimasukkan ke dalam reserved purchase.

“Jadi nanti akan ada orang yang betul-betul tidak berkemampuan akan tanya, ada tak orang buat reserved purchase? Sebenarnya tradisi ini sudah ada di banyak negara seperti di Turkiye, Kanada serta sesetengah negara Eropah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Barjoyai mengulas soal inflasi semasa di Malaysia yang katanya berada dalam lingkungan yang optimum.

Katanya, dalam soal usaha kerajaan menurunkan harga barang bagi memulihkan semula ekonomi yang terjejas akibat Covid-19, sebenarnya pemulihan ekonomi bukan bergantung kepada penurunan harga barangan.

“Pemulihan ekonomi bukan bergantung kepada penurunan harga barang. Semua negara memerlukan inflasi, kadar inflasi kita secara keseluruhan dalam lingkungan tiga peratus, maknanya optimum.

“Sebab kalau ia turun lebih rendah, ia akan menyebabkan pengangguran. Kita memerlukan inflasi untuk menyemarakkan ekonomi supaya industri akan berminat untuk berkembang, menambah pelaburan serta guna tenaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya