Kembali ke asas perjuangan sebenar UMNO - Utusan Malaysia

Kembali ke asas perjuangan sebenar UMNO

ZAKARIA DULLAH (kiri) memberi laluan kepada Onn Hafiz untuk mengetahui UMNO Bahagian Simpang Renggam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Membawa kembali UMNO ke landasan perjuangan sebenar menjadi misi utama Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah yang menawarkan diri merebut jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi penggal 2023-2026.

Sebelum menawarkan diri bertanding jawatan MKT, beliau terlebih dahulu melakukan ‘bedah siasat’ dalam diri bagi mengenal pasti apa kekurangan serta kelebihan untuk dibawa bagi melengkapkan keseluruhan perjuangan parti. 

Katanya, lebih utama adalah setiap ahli yang berada di dalam barisan tertinggi parti mempunyai jati diri tinggi dalam memperjuangkan dasar untuk membawa parti ke arah lebih kukuh mengikut acuan asas penubuhan parti. 

“Kenapa kita kena kembali ke perjuangan asal UMNO adalah kerana dasar yang lebih menekankan kepentingan perjuangan parti daripada individu, iaitu memartabatkan agama, bangsa dan negara perlu menjadi agenda utama. 

“Hanya dengan kredibiliti ini dilihat mampu untuk membawa UMNO kembali kukuh dan disanjungi orang Melayu, seterusnya kembali sebagai sebuah parti terkuat seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini. 

Dalam pada itu, atas dasar perpaduan dan keharmonian dalam UMNO Bahagian Simpang Renggam, beliau sanggup memberi laluan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menerajui bahagian itu dan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. 

“Sebagai orang perjuangan, kepentingan parti dan ikhlas menjadi pegangan asas saya  dalam menyumbang khidmat bakti kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya. 

Sementara itu, Onn Hafiz dalam hantaran di laman Facebook miliknya melahirkan penghargaan kepada Zakaria yang bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk jawatan tertinggi UMNO Bahagian Simpang Renggam.

“Sama-samalah kita terus bermuafakat dan berusaha untuk menguatkan lagi UMNO bahagian dan perjuangan ini sentiasa dirahmati serta diberkati Allah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya