TAPAH: Seorang kelindan lori maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas membabitkan sebuah treler di Kilometer 350.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 7 pagi itu mengorbankan S. Umabathi, 41, yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika lori muatan ikan dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu lelaki berusia 49 tahun itu telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan besi.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapan sebelum digilis lori.
“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, rakan mangsa cedera di bahu, tangan dan kaki kanan manakala pemandu treler berusia 38 tahun tidak cedera.
“Siasatan mendapati punca nahas itu akibat lori dinaiki mangsa melanggar belakang treler. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN