SETIU: Siapa sangka, produk berasaskan pokok gelam yang diusahakan Kelab Belia Padang Jejawi di sini, sejak tiga tahun lalu mampu menjana pendapatan kira-kira RM20,000 sebulan.
Pengerusinya, Mohd. Noor Azri Abdul Ghani, 35, berkata, setakat ini, mereka menghasilkan lima produk iaitu air hidrosol, minyak sapu, sabun mandi, cecair sanitasi dan balm.
Katanya, produk yang diusahakan 10 ahli kelab belia itu dihasilkan melalui proses yang teliti bagi mengekalkan kualiti pada tahap terbaik sebelum dijual pada harga antara RM10 hingga RM20 untuk setiap satu.
“Menerusi kajian saintifik, air rebusan dipanggil hidrosol yang merupakan produk paling laris,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemprosesan Minyak Gelam Kampung Padang Jejawi di sini, semalam.
Mohd. Noor Azri berkata, selain bermanfaat dari sudut kesihatan dan perubatan, minyak gelam berpotensi dibangunkan sebagai industri utama seperti dilakukan negara jiran, Indonesia.
Katanya, usaha Kelab Belia Padang Jejawi itu mendapat sokongan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia dalam bentuk dana RM25,000 untuk pembelian empat unit mesin pengekstrakan serta latihan.
Menurut beliau, pihaknya merancang membangunkan beberapa produk baharu untuk dipasarkan dengan lebih meluas antaranya ubat gigi dan syampu.
“Sebanyak 70 peratus pengeluaran pokok gelam di negara adalah di Terengganu dan antara yang mengkaji kelebihannya ialah Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
“Selain menghasilkan produk baharu, kami juga merancang meningkatkan kualiti pembungkusan dan pemasaran bagi membolehkan ianya dieksport ke luar negeri,” ujarnya. – UTUSAN