ARAU: Warung makanan Barat dengan harga serendah RM1.90 yang terletak di Jalan Padang Nyu di sini menjadi tumpuan khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar negeri ini sekali gus membantu meringankan beban mereka.
Pemilik Warung Western RM1.90, Mohammad Fitri Yusup, 31, berkata, harga yang murah itu memberi peluang kepada pelanggan tanpa mengira lapisan menikmati pelbagai jenis menu makanan Barat.
Katanya, menu yang ditawarkan dengan harga tersebut menjadi daya tarikan pelanggan ke warungnya dan sambutan yang diterima sangat memberangsangkan sejak mula beroperasi pada 2021.
“Ramai pelanggan saya terdiri daripada pelajar universiti bagi menikmati pelbagai jenis makanan Barat yang ditawarkan dengan harga serendah RM1.90.
“Antara menu yang dijual dengan harga tersebut seperti chicken chop, chicken grill meatball, wedges, ayam panggang ala Barat dan pelbagai lagi menu lain.
“Dengan adanya konsep seperti ini, semua orang mampu merasa sendiri makanan yang dijual di sini dan ia menjadi tumpuan pelajar kerana dapat menjimatkan duit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Mohammad Fitri, dia mampu mencatatkan jualan sekitar RM3,000 sehari.
Sementara itu, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Nur Iryanti Hussein, 23, berkata, dia sering memilih kedai tersebut kerana dapat menjimatkan kos.
“Saya dan rakan-rakan sering menjamu selera di gerai ini kerana beberapa juadah yang disediakan tidak sampai RM2. Walaupun saiznya agak ‘comel’, namun cukup untuk mengisi perut.
“Ada juga rakan yang tidak cukup dengan satu hidangan dan memesan dua hingga tiga hidangan sebagai bekalan untuk mengulang kaji pelajaran di asrama namun masih berbaloi kerana tidak lebih RM10,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Irfan, 23, berkata, kewujudan kedai makan seperti itu banyak meringankan beban kewangan pelajar dan berharap inisiatif seperti Menu Rahmah segera diperkenal di sekitar kampus IPT. – UTUSAN