DUNGUN : Penduduk di bandar ini kecoh dengan kehadiran seekor tapir jantan yang berkeliaran di sekitar kawasan tersebut pada pagi tadi.
Bagaimanapun, tapir dewasa yang dianggarkan seberat 250 kilogram itu berjaya ditangkap kira-kira pukul 1 tengah hari tadi, dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk.
Pegawai APM Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, haiwan liar tersebut disedari menceroboh masuk pekarangan pejabat APM kira-kira pukul 6.20 pagi, sebelum menghubungi anggota Perhilitan.
Menurutnya, tapir yang berada di pekarangan pejabat APM itu telah berjaya keluar dan berkeliaran di sekitar bandar ini.
“Tapir itu kemudiannya berkeliaran di beberapa kampung sebelum terjatuh ke dalam longkang besar di Kampung Alor Tembesu sebelum haiwan itu berjaya diselamatkan di kawasan longkang Kampung Kubang Miang, tengah hari tadi.
“Kita juga terpaksa menggunakan khidmat jentolak untuk mengangkat tapir yang masuk dalam perangkap Perhilitan di dalam longkang untuk bawa naik ke darat,” katanya.
Ahmad Kamal berkata, meskipun gempar dengan kehadiran tapir itu, bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Loo Kean Seong berkata, tapir yang mengalami sedikit kecederaan itu sedang dirawat dan akan dilepaskan ke hutan simpan berdekatan. – UTUSAN