BALING: Kebakaran yang berlaku di Gunung Baling, di sini sejak semalam dipercayai akibat pembakaran terbuka disyaki dilakukan oleh penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd. Jamil Mat Daud berkata, kejadian sekitar pukul 7.20 malam itu menyebabkan api marak sehingga ke puncak gunung berkenaan.
Katanya, kebakaran itu bukan berlaku pada musim kemarau seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini.
“Anggota bomba termasuk daripada Pasukan Bomba Sukarela telah berusaha memadam kebakaran di kaki gunung, namun mengalami kesukaran kerana api telah merebak ke bahagian atas gunung.
“Operasi memadam kebakaran tidak dapat dilakukan atas faktor geografi dan dinding batu kapur berkecerunan 90 darjah. Operasi juga terpaksa ditangguhkan semalam dan disambung semula awal pagi ini berikutan cuaca gelap dan faktor keselamatan kepada anggota,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil pemantauan hari ini mendapati kebakaran masih berlaku dan terdapat dua tompokan api namun sekitar pukul 11 pagi, tompokan tersebut dan asap berkenaan telah hilang.
“Berikutan itu, pasukan Unit Udara Subang melakukan pemadaman dengan menggunakan teknik ‘water bombing’ bagi memadam keseluruhan api sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada kawasan yang masih terbakar.
“Justeru, kami menasihati penduduk kampung agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan jika melakukannya, ia harus dikawal sepenuhnya agar api tidak merebak ke kawasan lain yang boleh mengakibatkan kebakaran lebih besar,” katanya. –UTUSAN