KDN beri amaran, henti cetus huru-hara masyarakat

KDN beri amaran, henti cetus huru-hara masyarakat

SEBAHAGIAN peserta program Himpit 2023 berarak membawa replika pedang, perisai dan lembing di Setiu, Terengganu. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara kepada rakyat dan negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.

Menurutnya, beliau memandang serius berhubung satu acara melibatkan perarakan replika bersenjata tajam yang berlangsung dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu.

“Perarakan replika bersenjata yang tular di media sosial itu menimbulkan suatu kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri
yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri dilihat semakin memuncak.

“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion & royalty) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ‘military’ (ketenteraan) amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam.

Jelasnya lagi, insiden yang kemudian disiar dalam bentuk klip video dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab dilihat jelas menekankan tema peperangan sekali gus mengundang pertanyaan adakah perarakan itu bertujuan menyuntik semangat perang.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara.

Katanya, segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif.

“Saya ingin menyeru dan mengajak rakyat untuk bersama-sama menyahut seruan Malaysia Madani yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antaranya mempromosikan elemen kesejahteraan, hormat dan ihsan dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya