KDA FC tidak terjejas gempa bumi di Turkiye

KDA FC tidak terjejas gempa bumi di Turkiye

PASUKAN Sang Kenari yang kini berada di Turkiye untuk siri jelajah pra musim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Siri jelajah pra musim Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ke Turkiye tidak terjejas meskipun negara itu dilanda gempa bumi terburuk dalam sejarah berukuran 7.8 magnitud, pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, kejadian tersebut berlaku di zon yang berbeza daripada lokasi dituju pasukan berkenaan iaitu Antalya.

Menurutnya, sehingga kini empat perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Sukan Limak Arcadia akan diteruskan, seperti perancangan sebelum ini.

“Alhamdulillah, setakat ini segalanya berjalan lancar mengikut jadual diatur. Delegasi KDA FC telah terbang ke Turkiye pukul 11 malam tadi dan tiba di Istanbul pagi ini sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Antalya.

“Kejadian yang melanda bumi Turkiye berlaku di zon berbeza dari pusat latihan. Justeru jadual 10 hari Sang Kenari di negara ini tidak terjejas dan perlawanan persahabatan dengan empat pasukan lain tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut perancangan, KDA FC akan menentang FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari. Selepas itu anak-anak buah Nafuzi Zain akan menentang FC Shakter Karagandy serta FC Maktaaral dari Kazakhstan pada 10 dan 12 Februari, diikuti FC Metalist Kharkiv dari Ukraine, dua hari selepas itu.

Laporan media antarabangsa menyebut, lebih 100 maut dan kira-kira 500 cedera dalam gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye hari ini.

Menurut Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berlaku pada pukul 4:17 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira 17.9 kilometer dengan gempa susulan 6.7 magnitud berlaku 15 minit kemudian.

Sementara itu, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar ketika dihubungi Utusan Malaysia memohon semua pihak agar mendoakan yang terbaik buat pasukan.

“Moga-moga tak ada masalah sebab tempat berjauhan. Sama-sama kita doakan yang terbaik. Saya juga merancang untuk ke sana, bersama pasukan. Jika tiada aral, saya akan menaiki penerbangan ke Turkiye pada 11 Februari nanti ke sana,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya