Kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang diceroboh - Utusan Malaysia

Kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang diceroboh

MEOR Razak Meor Abdul Rahman (kiri) menerangkan kepada Wong May Ing (tengah) mengenai pencerobohan Pantai Pasir Panjang yang turut disertai Wahid Ridwan (kanan) dalam tinjauan di Segari di Lumut hari ini. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perak mungkin kehilangan satu-satunya kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari di sini jika tindakan menceroboh kawasan itu terus dibiarkan berleluasa.

Terbaru, tinjauan mendapati salah satu kawasan pantai di situ sudah diceroboh dan dilakukan kerja-kerja pengorekan pasir selain terdapat cerucuk kayu yang ditanam di situ.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, memberitahu beliau dimaklumkan oleh penduduk setempat dan nelayan bahawa kerja-kerja itu mula dilakukan pada minggu lalu.

Beliau difahamkan, pengorekan pasir dan penanaman cerucuk kayu itu bertujuan bagi membina jeti atau pontoon untuk membawa keluar pasir milik sebuah syarikat yang beroperasi berhampiran.

“Jika jeti itu dibina, maka saya percaya penyu tidak akan mendarat lagi di Pantai Pasir Panjang yang juga satu-satunya lokasi pendaratan penyu untuk bertelur di negeri ini, kerana haiwan itu tidak akan mendarat di pantai yang dilakukan pembangunan atau ramai manusia.

“Jika tiada usaha segera dilakukan bagi menghalang pembinaan itu dan tiada juga usaha untuk menjaga pantai itu daripada diceroboh, maka pendaratan penyu di Perak hanya akan tinggal kenangan sahaja (untuk diceritakan kepada generasi akan datang),” katanya ketika membawa pemberita meninjau kawasan tersebut hari ini.

Turut ikut serta dalam tinjauan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May Ing.

Sehubungan itu, Meor Razak meminta pihak berkuasa segera bertindak menghalang pembinaan jeti tersebut serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat kerana menceroboh kawasan yang dianggap sensitif alam sekitar itu.

Pada masa sama, beliau berharap pihak berkaitan dapat meratakan semula lokasi berkenaan seperti keadaan asal.

Beliau mengulangi desakan kepada kerajaan negeri agar mewartakan pantai sepanjang lima kilometer itu sebagai kawasan perlindungan khusus untuk pendaratan penyu dan penyu bertelur, sekali gus dapat dilakukan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kawasan pantai tersebut.

Sementara itu, Pengerusi My Komuniti Perikanan (MyKP) Teluk Senangin, Safie Mohamad Akhir, memaklumkan lokasi tempat jeti itu dibina dikenal pasti tempat paling kerap penyu mendarat berdasarkan bilangan telur yang ditemui pihaknya sebelum ini.

Justeru, jelas beliau, adalah sesuatu yang malang jika penyu tidak lagi datang mendarat dan bertelur disebabkan pencerobohan manusia di pantai tersebut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Manjung Selatan, Wahid Ridwan, memaklumkan kawasan perairan di situ juga dikenal pasti sebagai banyak hasil maritim khususnya udang dan ketam yang menjadi mata pencarian penduduk tempatan khususnya kira-kira 6,000 nelayan pantai sekitar Manjung

Beliau bimbang hasil maritim di situ akan terjejas pada masa depan jika lokasi tersebut terus dibangunkan dengan projek pembangunan dan pihaknya tidak teragak-agak melakukan bantahan jika tiada sebarang usaha pihak berkuasa menghalangnya.

May Ing pula menyokong cadangan agar kawasan pantai tersebut yang berada di bawah Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, diwartakan sebagai kawasan perlindungan.

Beliau juga sudah beberapa kali membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi maklum balas kerajaan negeri tidak menggalakkan.

Dalam pada itu, SAM bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak (Ekologi Perak) dan Persatuan Penggiat Alam Segari mengulangi kebimbangan terhadap eksploitasi dan ancaman Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) tersebut.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, isu yang paling membimbangkan dan menjadi ancaman terhadap KSAS Tahap 1 itu ialah cubaan untuk mengambil dan mengeluarkan pasir di kawasan berhampiran yang boleh memusnahkan habitat pendaratan penyu.

“Berdasarkan dokumen Rancangan Fizikal Negara (RFN), semua kawasan pendaratan penyu di Semenanjung Malaysia dikategori sebagai KSAS Tahap 1 yang tidak boleh dibangunkan untuk sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah kecuali pelancongan eko yang berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan.

“Perlu dijelaskan bahawa kawasan pantai dari Hutan Lipur Pasir Panjang hingga ke Pantai Pasir Pandak, Tanjung Hantu merupakan kawasan yang kerap direkodkan pendaratan penyu berdasarkan penemuan sarang dan kutipan telur oleh pengutip telur penyu yang dilantik oleh Jabatan Perikanan,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya