PETALING JAYA: Sebahagian pengusaha makanan didakwa sengaja mengaut keuntungan lebih dengan alasan kos operasi yang tidak masuk akal apabila meletakkan harga makanan yang tinggi sebelum Menu Rahmah diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, pengusaha makanan sememangnya mampu menawarkan menu dengan harga RM5 ke bawah sebelum Menu Rahmah diperkenalkan oleh kerajaan.
Katanya, tidak dinafikan bahawa keuntungan maksimum adalah matlamat utama sesuatu perniagaan, begitu juga dengan pengusaha makanan yang meletakkan harga tinggi sebelum turut sama menyahut inisiatif Menu Rahmah apabila mendapat sambutan untuk menarik lebih ramai pelanggan.
“Kalau boleh dapat untung lebih, kenapa mahu untung sikit?”
“Kalau diikutkan semua kos bagi hidangan nasi, ayam seketul, dan sayur dengan jumlah yang sedikit, margin keuntungan yang diperoleh para peniaga masih ada walaupun sedikit tetapi peniaga tetap tidak rugi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, selain Menu Rahmah, menu lain yang ditawarkan dengan harga lebih tinggi juga sepatutnya boleh menampung kos operasi, jadi peniaga sepatutnya tidak akan mengalami kerugian disamping boleh membantu golongan memerlukan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Menu Rahmah yang mendapat sambutan menggalakkan mendorong lebih ramai peniaga di seluruh negara mengambil langkah sama menawarkan menu tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George pula berpendapat, perkara ini bukanlah satu isu besar kerana ia sesuatu yang normal.
“Ia cerita sama dengan sama ada kita mahu membeli kereta BMW atau proton dan perodua, semuanya bergantung kepada kemampuan dan cita rasa pengguna sendiri kerana peniaga yang mengetahui kos sebenar dan berhak meletakkan berapa pun harga.
“Harga rendah tidak semestinya bagus. Pengguna juga perlu membuat perbandingan sumber makanan atau bahan mentah sebelum memilih berdasarkan harga,” katanya.- UTUSAN