Kartunis Fatah Ngah meninggal dunia - Utusan Malaysia

Kartunis Fatah Ngah meninggal dunia

MANAN Ngah menunjukkan sebahagian gambar Fatah Ngah yang terdapat dalam buku, Fatah Kartunis Akar Terengganu di Kampung Alor Tembesu, Dungun, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Jenazah kartunis terkenal majalah Gila-Gila, Allahyarham Fatah Ngah, 70, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya di sini pada pukul 12 tengah hari di sini, hari ini.

Fatah yang sinonim dengan karya Lagak A. Mamud meninggal dunia di rumahnya di Kampung Alor Tembesu di sini pada pukul 1.45 pagi.

Adik kandung Fatah, Manan Ngah, 62, berkata, abangnya itu menghidapi sakit saraf sejak lebih 40 tahun lalu, namun berada dalam keadaan terlantar sejak lebih lima tahun lalu.

Menurutnya, Fatah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu menghembuskan nafas terakhir di hadapan adik bongsunya, Laili, 50.

“Allahyarham diuruskan oleh Laili sejak dia terlantar sakit di rumahnya.

“Laili mendapati Allahyarham muntah mengeluarkan cecair berwarna hitam kira-kira pukul 6 petang semalam,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Tembesu di sini, hari ini.

Manan yang juga merupakan seorang komposer dan pemain muzik terkenal memberitahu, seorang pembantu perubatan yang tiba di rumah tersebut kemudian mengesahkan kematian Fatah.

Katanya, Fatah dipercayai meninggal dunia kerana sakit tua.

Fatah adalah generasi pertama majalah Gila-Gila dan beliau antara yang melukis pada zaman kenaikan kartun 1970-an.

Pada Oktober 2011, pameran dan jualan amal untuk Fatah Ngah telah diadakan di Lana Wau, Kompleks Kraftangan, Kuala Lumpur bertujuan mengumpul dana membantu kos rawatan dan perubatan Fatah.

Pada tahun 2015, Allahyarham Abdul Fatah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kartunis Malaysia yang disampaikan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya