KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keutamaan kepada kenaikan gaji penjawat awam apabila keadaan kewangan negara semakin baik.
Perdana Menteri berkata, sekiranya kantung negara baik dan defisit dikurangkan, maka isu kenaikan gaji penjawat awam akan tetap diberi perhatian.
“Kalau kantung kita baik dan defisit dapat dikurangkan jadi, kita boleh (beri tumpuan). Sekarang, kalau saya tengok cara penjawat awam buat kerja di peringkat negeri, kemudian kita tengok hasil bertambah, saya tengok mungkin (kenaikan gaji) boleh dipercepat.
“Cuma untuk hari ini sukarlah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di sini hari ini.
Mengenai indikator yang digunakan bagi menimbang semula gaji penjawat awam, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.
Berhubung peruntukan Belanjawan 2023 yang tidak habis dibelanjakan, Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, cara lain adalah dengan memastikan kerajaan negeri menguruskan semua projek-projek kecil RM50 juta ke bawah.
“Kita perkukuhkan kapasiti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kita serahkan sepenuhnya kepada negeri untuk mengenal pasti projek dan melaksanakannya,” katanya.
Menurut Anwar, pada masa ini keutamaan adalah menjalankan amanah dalam mentadbir negara, sekiranya ada pihak yang ingin bergaduh, tunggu sehingga pilihan raya akan datang.
Dalam lawatan ke Sabah sebelum ini, beliau menjemput dan bertemu dengan semua ketua-ketua parti untuk berbincang mengenai kerajaan perpaduan di peringkat negeri Sabah.
“Kita panggil semua orang dan berdasarkan pengalaman negeri ini, saya serahkan kepada pimpinan negeri untuk bincang dan putuskan,” katanya. – UTUSAN