SUNGAI PETANI: Tindakan pantas seorang ibu berlari mengikuti anaknya yang dibawa arus sejauh 15 meter di dalam longkang hadapan rumah mereka sambil menjerit meminta bantuan berjaya menyelamatkan anak lelakinya daripada lemas, petang tadi.
Kejadian pada pukul 5.07 petang berlaku di Taman Sejati Indah, di sini apabila kanak-kanak berusia enam tahun itu sedang bermain di dalam longkang tersebut bersama rakannya sebelum hujan tiba-tiba lebat.
Kanak-kanak itu kemudian didapati tenggelam timbul di kolam kumbahan yang dipenuhi pokok keladi bunting yang terletak tidak jauh dari rumahnya setelah dihanyutkan dari longkang terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohamad Syukri Hashim berkata, beliau bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Ketika tiba di tebing kolam kumbahan itu, kami melihat tangan kanak-kanak itu terkapai-kapai seperti melambai-lambai di permukaan kolam.
“Anggota bomba kemudian segera terjun ke dalam kolam dan berjaya membawa naik kanak-kanak itu sebelum dia diberikan rawatan awal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan berada dalam keadaan baik sebelum dia dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut. –UTUSAN