BENTONG: Pelancong yang merancang percutian di Kampung Janda Baik di sini tidak perlu bimbang mengunjungi kawasan terbabit kerana destinasi itu selamat dan jalan rayanya masih boleh dilalui.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik, Rahimi Anuar, 58, berkata, kampung tersebut tidak terjejas susulan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Bukit Tinggi, Ahad lalu dan berada dalam keadaan baik serta cuaca cerah.
“Sebenarnya kampung Janda Baik tidak berlaku banjir, yang terkena banjir adalah Kampung Bukit Tinggi. Kami di sini dalam keadaan biasa, cuaca panas dan air sungai elok sahaja, Alhamdulillah,” katanya di sini semalam.
Rahimi menambah, disebabkan laporan salah mengatakan berlakunya banjir kilat di Kampung Janda Baik, ia memberi kesan kepada mereka yang terlibat dengan sektor pelancongan di kampung terbabit.
“Kerana laporan tidak tepat, kami yang terlibat dalam sektor pelancongan ini terkesan. Pelancong menjadi takut. Ada pelancong yang sudah mula membatalkan tempahan mereka. Oleh itu kami minta agar laporan ini dibetulkan,” katanya.
Menurutnya lagi, meskipun laluan jalan lama Bentong-Kuala Lumpur terputus hubungan, namun penduduk Kampung Janda Baik masih memiliki laluan alternatif lain.
“Kami tidak terputus (hubungan), kami ikut jalan lama ke Bentong dan keluar semula ke Bukit Tinggi. Tapi agak jauh sedikit namun tidak menjadi masalah. Pelancong dan pengunjung masih boleh datang ke Kampung Janda Baik menggunakan laluan alternatif ini.
“Lori besar ambil barang dari kilang elektrik Solar pun ikut jalan itu. Jadinya kami di Janda Baik okey sahaja. Pelancong tidak perlu risau untuk ke Janda baik,” katanya.
Pengusaha sukan lasak bermotor, All Terrains Vehicle (ATV) di Kampung Pulau Santap di Janda Baik, Mohd. Zaimi Mustaffa, 44, pula berkata, kejadian banjir kilat di Kampung Bukit Tinggi, Ahad lalu sedikit sebanyak menimbulkan rasa gusar penduduk di kampung berkenaan.-utusan