Kalau layan, apa beza saya dengan dia? - Adam Shahz - Utusan Malaysia

Kalau layan, apa beza saya dengan dia? – Adam Shahz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Pada saya, video itu bukan satu isu. Tak terasa pun. Bukan level saya untuk layan benda itu. Kalau saya layan atau balas, apa beza saya dengan dia?”

Itu penegasan pelakon, Adam Shahz, 42, selepas sebuah video dimuat naik suami bekas isteri, Fatin Afeefa tular di media sosial yang didakwa memerli dan mengejeknya.

Jelas Adam, dia tidak mahu mengeruhkan lagi kemelut antara kedua-dua pihak dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah berhubung tuntutan hak lawatan anaknya, Ivy Herra Sophia, 7.

“Saya tak tahu pun tentang video itu sehinggalah tular di media sosial. Bagi saya, tidak ada apa pun.

“Mungkin pada sudut pandangan segelintir netizen video itu memerli, tetapi saya tidak terasa.

“Mungkin dia cuba memancing emosi, saya tidak tahu. Cuma, saya sudah cukup matang dan profesional untuk tidak berbalas kenyataan atau video. Masalah boleh bertambah rumit,” ujarnya.

Adam ditemui ketika tayangan perdana filem lakonannya, Sumpahan Syaitan yang turut menampilkan pelakon lain antaranya, Farid Kamil, Datuk Jalaludin Hassan, Datuk AC Mizal dan ramai lagi.

Filem terbitan D-Bay Filem Factory dan Red Firess Film Production mengisahkan Sam terpaksa melarikan diri selepas diperdaya skim pelaburan cepat kaya.

Nasib Sam bertambah malang apabila berdepan pelbagai kejadian misteri dan seram ketika menyembunyikan diri di sebuah hotel milik sahabat baiknya, Malik (lakonan Datuk AC Mizal).

Sementara itu, kongsi Adam, dia juga sudah empat bulan tidak bertemu anaknya dan menunggu keputusan mahkamah atas tuntutan hak lawatan serta bermalam pada 28 Februari ini.

“Saya tidak berkomunikasi dengan individu tersebut, tetapi pengawal peribadinya ada menghubungi saya untuk menyelesaikan tuntutan itu secara baik. Saya jawab tidak.

“Lebih baik, biar mahkamah selesaikan. Nasihat saya kepada pasangan yang mungkin bergelut dengan masalah perceraian, selesaikan di mahkamah.

“Hubungan anak dan ayah tidak akan putus. Begitu juga ibunya. Dia anak perempuan, saya perlu tahu hal anak saya. Bagaimana dia membesar, dengan siapa dia keluar dan ke mana dia pergi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adam turut berkongsi pengalaman menjalani penggambaran ketika pandemik untuk filem Sumpahan Syaitan yang akan ditayangkan di pawagam bermula 2 Mac ini.

“Cabaran tidak menyukarkan sangat kerana dikelilingi pelakon berpengalaman walaupun menjalani penggambaran ketika pandemik.

“Saya juga perlu memahami watak Ray kerana bukan senang untuk meyakinkan orang kerana dia seorang scammer dan punca segala masalah,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN