PETALING JAYA: Penyanyi, Ayu Damit menolak tanggapan segelintir pihak yang dia kini sudah bergelar jutawan hasil kejayaan perniagaan pertanian cili dan sayuran yang diusahakan sejak enam tahun lalu.
Jelas penyanyi Kejam itu, dia masih menggunakan wang simpanan hasil karier seninya sebagai modal pusingan untuk memastikan kelancaran perniagaan tersebut.
“Jutawan perniagaan cili? Belum lagi, tetapi saya aminkan sahaja. Sumber pertanian juga ada risikonya. Kadang kala penyakit dan faktor cuaca. Tidak menentu juga sebenarnya.
“Sebelum ini, saya pernah berdepan kerugian beratus ribu. Projek penanaman kelapa dan nanas tidak menjadi hingga modal ratusan ribu ringgit hangus. Alhamdulillah, ladang cili yang saya dan suami usahakan membuahkan hasil.
“Hakikatnya, banyak keringat dan air mata perlu ditempuh sepanjang enam tahun ini. Saya juga terpaksa guna hasil undangan pentas sebagai modal pusingan untuk perniagaan pertanian,” katanya.
Ayu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Fiesta Citarasa Sambal yang bakal menyaksikannya membawa masuk cili Sabah pada acara tiga hari di KL Gateway Mall, Bangsar South, bermula 10 Mac depan.
Program anjuran Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) bakal mempamerkan lebih 100 jenis sambal daripada seluruh pelosok dunia yang dijual dan dihasilkan oleh usahawan tempatan serta luar negara.
Selain usahawan sambal Malaysia sebagai pempamer utama, pecinta sambal juga berpeluang menikmati dan membeli produk makan tersebut di Pavilion Negara Asia seperti Indonesia, Korea, Vietnam, Pakistan dan Thailand.
Dalam pada itu, Ayu yang diangkat sebagai ikon usahawan cili program tersebut berkata, usahawan lain boleh bekerjasama dengannya untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih segar dan berkualiti.
“Ada juga rakan-rakan artis bertanya selok-belok perniagaan berasakan pertanian. Saya terbuka dan boleh berkongsi ilmu. Lagipun, saya sedang belajar lagi.
“Saya juga mengalu-alukan kerjasama dengan usahawan produk berasaskan sambal atau cili. Kalau saya yang buat produk sambal, mungkin tidak. Sudah terlalu banyak di pasaran,”katanya.