Jurutera maut rempuh kereta belok mengejut

Jurutera maut rempuh kereta belok mengejut

MANGSA tercampak ke dalam longkang selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 60.4, Jalan Alor Setar- Butterworth di Bakar Arang, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang jurutera sebuah kilang, di sini maut apabila motosikalnya merempuh sebuah kereta di Kilometer 60.4 Jalan Alor Setar-Butterworth berdekatan sebuah stesen minyak di Bakar Arang, malam tadi.

Nahas pada pukul 11.20 malam itu menyebabkan M. Hemraj, 22, yang berasal dari Bedong meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun yang membelok ke kiri secara tiba-tiba semasa melalui kawasan itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda CBR500 di belakang kereta itu dan kedua-duanya dari arah Central Square ke Bakar Arang.

“Disebabkan jarak terlalu dekat mangsa tidak dapat mengelak lalu merempuh bahagian pintu hadapan Toyota Vios berkenaan sebelum tercampak ke dalam longkang di bahu kiri jalan dan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Zaidy berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat, manakala pemandu kereta yang berasal dari Sik tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saksi kejadian diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya