PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu dasar akan ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pelaksanaan penjualan mercun dan bunga api.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau baru mengetahui perkara itu dan PDRM menunggu dasar daripada KDN berkaitan pelaksanaannya.
“Saya baru mengetahui mengenai perkara itu, kita masih menunggu dasar daripada KDN, saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya dalam sidang akhbar ketika menghadiri Program Mendaki Bersama PDRM di Taman Persekutuan, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan kepada KDN untuk memperincikan garis panduan berhubung lesen penjualan mercun dan bunga api.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, pihaknya turut menyerahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pengimport mercun dan bunga api.
Beliau dilaporkan berkata, aktiviti penjualan bunga api dan mercun di peringkat sumber iaitu pemborong serta pengimport akan dikawal kerajaan.
“Jadi pembakaran mercun dan bunga api dihalalkan tetapi tertakluk kepada permohonan lesen, duti import, peraturan serta garis panduan,” katanya.
Tambahnya, dengan garis panduan yang bakal diumumkan, ia akan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara. – UTUSAN