KUALA NERUS: Kira-kira 120 penduduk di Taman Tengku Ismail 1 dan 2, Telaga Daing, Seberang Takir di sini resah setiap kali banjir kilat akibat limpahan air pasang terutama pada waktu malam.
Penduduk tidak sanggup lagi berdepan dengan bencana tersebut kerana mereka juga terpaksa menanggung kerugian apabila banyak barangan perabot mengalami kerosakan sekiranya air memasuki rumah.
Perkara itu sudah diadukan kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain meminta pintu kawalan pasang surut dibina di muara Sungai Hulu Takir.
Seorang penduduk di Taman Tengku Ismail 1, Mokhtar Md. Noor, 65, berkata, kawasan taman perumahan itu sering dinaiki air sehingga satu meter setiap kali berlaku air pasang.
Menurutnya, pada setiap bulan, lebih tiga kali kawasan taman tersebut akan dinaiki air selama tiga hingga empat jam.
“Kejadian banjir kilat lebih buruk sekiranya berlaku fenomena air pasang besar sehingga air masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Suzana Sulong, 49, berkata, dia mengharapkan JPS dapat mengambil tindakan segera untuk memastikan kejadian banjir kilat akibat limpahan air pasang tidak berlarutan.
“Antara tindakan yang perlu diambil segera adalah membina pintu kawalan pasang surut di muara Sungai Hulu Takir untuk mengelakkan berlaku banjir kilat.
“Pembinaan pintu kawalan pasang surut itu juga dapat membantu mengatasi banjir kilat di beberapa buah kampung berdekatan sungai tersebut,” jelasnya.
Penduduk Taman Tengku Ismail 2, Mohd. Sufian Mokhtar, 36, pula berkata, penduduk di taman perumahan ini paling terkesan apabila berlaku banjir kilat kerana terputus jalan masuk dan keluar akibat dinaiki air sehingga satu meter.
“Penduduk bimbang mereka tidak dapat keluar dari taman tersebut ketika banjir kilat terutamanya ketika berlaku kecemasan.
“Pada masa sama, kebanyakan pemilik rumah di taman ini menjadi rumah mereka sebagai homestay, namun terjejas pendapatan kerana sering berlaku banjir kilat,” tambahnya. – UTUSAN