TAMPIN: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah melaksanakan penjenamaan semula aktiviti di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menyahut saranan Malaysia Madani di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Norison Ramli berkata, antara program yang telah diterjemahkan bagi penghayatan Malaysia Madani itu adalah program Gerak Rahmah dan Bakul Rahmah yang akan dilaksanakan oleh setiap KRT di negara ini.
“Kalau di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ada Menu Rahmah, kami pula ada Bakul Rahmah yang akan diberikan kepada individu memerlukan.
“Rahmah ini (maksudnya) kasih sayang, kita mahu semua rakyat Malaysia bersatu padu, hari ini kami promosikan program Gerak Rahmah iaitu program baharu yang dijenamakan di bawah program KRT, ” katanya.
Beliau ditemui pemberita sempena Program Gerak Rahmah Jom Sihat Peringkat Kebangsaan di KRT Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas, pagi tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa dan Ahli Parlimen Tampin merangkap ADUN Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa.
Tambah Norison lagi, sempena program yang dilancarkan serentak di seluruh negara itu, JPNIN menyasarkan lebih 40 peratus KRT menganjurkan program tersebut di komuniti masing-masing.
“Setiap bulan kami akan adakan program seperti ini dan dimulakan dengan Gerak Rahmah dulu.
“Kami ada lebih 8,000 KRT di seluruh negara dan sasaran kami sebanyak 40 peratus KRT akan melaksanakan program ini dengan penyertaan pelbagai pihak serta agensi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Norison berkata, JPNIN akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan lagi penyatuan masyarakat dalam usaha melahirkan masyarakat Madani. – UTUSAN