GEORGE TOWN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku termasuk kegiatan vandalisme dan gangsterisme membabitkan pelajar sekolah di negeri itu.
JPN dalam satu kenyataan berkata, pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.
“JPN Pulau Pinang mengambil maklum tentang rakaman video tular yang memaparkan perlakuan murid merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.
“JPN Pulau Pinang amat kesal dengan kejadian tersebut dan akan memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang.
Jelasnya, tindakan sewajarnya juga sedang diambil oleh pihak sekolah yang mana telah memanggil murid terlibat bersama waris mereka semalam bagi membincangkan isu terbabit.
“Murid akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang dan nilai kerugian serta kerosakan harta benda turut sedang dalam siasatan,” katanya.
Ujarnya, JPN Pulau Pinang sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian sekali gus mempergiatkan kempen menghentikan vandalisme serta pelan tindakan yang komprehensif selari dengan tujuh teras KPM.
“Dalam masa sama, portal-portal yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka murid disaran untuk memadam video tersebut kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” tambahnya. – UTUSAN