PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik beberapa ciri keselamatan supaya lebih mesra pengguna bagi aplikasi MyJPJ dan Portal Awam JPJ.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, langkah tambah baik itu dibuat susulan aduan orang awam berikutan pelaksanaan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM atau cukai jalan digital) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) bermula 10 Februari lalu.
Beliau berkata, antara ciri baru dilaksanakan termasuk memperkenalkan sekuriti peringkat ke-3 menggunakan lapan aksara terakhir tertera di belakang lesen memandu untuk pendaftaran JPJelD secara dalam talian.
“Ia adalah tambahan kepada dua peringkat sekuriti sedia ada iaitu ‘kata laluan’ dan ‘kod TAC’,” katanya menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini.
Katanya, ciri lain termasuk menambah fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui lapan aksara terakhir lesen memandu.
Zailani berkata, ia sekali gus menyelesaikan isu ‘telah mendaftar’ disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun di portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem JPJ.
Selain itu, katanya, pihaknya juga menambah fungsi Penetapan Semula Emel bagi pengguna yang terlupa emel yang digunakan atau perlu mengemaskini emel secara dalam talian dengan tambahan lapan aksara lesen memandu.
Jelasnya lagi, kesemua penambahbaikan ciri-ciri keselamatan ini dapat diakses oleh pengguna secara berperingkat mengikut sistem pengoperasian telefon sama ada Android, 1OS dan Huawei mulai hari ini.
Dalam hal ini, Zailani berkata, Kementerian Pengangkutan juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber Aplikasi MyJPJ terjamin. – UTUSAN