JPJ Pulau Pinang kesan 56 pengguna langgar lampu merah - Utusan Malaysia

JPJ Pulau Pinang kesan 56 pengguna langgar lampu merah

PENUNGGANG motosikal antara pengguna jalan raya yang dikesan paling banyak melanggar isyarat lampu merah dalam Ops Merah di SPT dan SPS, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seramai 56 pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal dikesan gagal mematuhi peraturan berhenti ketika lampu merah oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam satu operasi berfokus di sini yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam.

Menurut JPJ negeri dalam satu kenyataan, penguatkuasaan secara berfokus atau Ops Merah itu dilakukan di dua daerah iaitu di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Operasi ini dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ Pulau Pinang dan akan diteruskan selagi tahap pematuhan dan kesedaran pengguna jalan raya masih rendah khususnya dalam mematuhi peraturan berhenti ketika lampu isyarat merah.

“Mengabaikan aspek keselamatan ini boleh menjurus kepada kemalangan serta berisiko (berdepan) kemalangan maut,” kata kenyataan itu.

Selain kesalahan melanggar lampu merah, 22 kesalahan lain seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran dan tidak memakai topi keledar turut dikesan dalam operasi berkenaan.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang turut menasihatkan para pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelak daripada dikenakan tindakan saman.

Pada masa sama katanya, mereka juga perlu memastikan pemanduan selamat sentiasa dilaksanakan kerana keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya