JKKP Pulau Pinang siasat kes kematian 2 pekerja warga asing - Utusan Malaysia

JKKP Pulau Pinang siasat kes kematian 2 pekerja warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung dua kes kemalangan di tempat kerja membabitkan kematian dua warga asing di sini hari ini.

Pejabat Pengarah JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, kes pertama membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh yang telah disambar api ketika menjalankan kerja pembersihan sisa skrap di sebuah kilang di kawasan perindustrian Perai, kira-kira pukul 10.50 pagi, 10 Februari lalu

Tambahnya, kes kedua pula melibatkan seorang lelaki warga Pakistan berusia 41 tahun yang jatuh dari tangga ketika menjalankan kerja menukar lampu rosak di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan, kira-kira pukul 2.40 petang, 17 Februari lalu.

Ujarnya, kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital ketika sedang menerima rawatan kira-kira satu ke dua minggu yang lalu.

“Notis larangan dan meminta kerja-kerja di dua lokasi kejadian dihentikan serta-merta telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, susulan kejadian itu, JKKP negeri akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Aka Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Jelasnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam dan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

Katanya, majikan perlu bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN